Saturday, 9 May 2009

Mandi?

Nota: Ini merupakan blog pertama yang dikeluarkan dalam Bahasa Melayu oleh kaiserstan


Mandi. Merupakan antara keperluan kesihatan dan kebersihan yang dijalankan setiap makhluk kecuali makhluk tersebut memang tidak pernah mandi semenjak azali. Maksudnya, lahir sahaja di muka bumi terus 'mengasam'. Betapa sinonimnya mandi dengan kehidupan kita seharian kerana sekiranya kita tidak mandi, pasti kita akan dikaitkan dengan beberapa makhluk yang tidak pernah mandi secara sukarela dari lahir(kambing dan makhluk SE-kambingan dengannya). Bau merupakan elemen yang terhasil dari aktiviti 'mengasam'. 'Mengasam' boleh ditakrifkan sebagai menahan diri dari pada terkena cecair jenis H2O dalam tempoh yang tidak dibenarkan daripada pengetahuan insan-insan lain.

Tahukah anda? Ada di kalangan kita mengamalkan cara hidup sedemikian. Insan-insan ini merasa tidak perlulah mereka mandi kerana ada tugas lain yang lebih penting dari mandi kerana bila kita mandi banyak perkara yang kita hendak buat. Takut sabun atau shyampu terkena mata, takut tergelincir, alasan belum masanya untuk mandi, petang ni nak main bola jadi alang-alang la lepas main bola baru mandi atau pun yang paling biasa kita dengar malas mandi pagi.

Sesungguhnya ada insan-insan atau pun rakan anda atau pun rakan saya yang tidak mandi pagi atau pun malas nak bangun mandi pagi. Mereka ini kebiasaannya bila hari cuti, atau hujung minggu selalu melakukan amalan ini kerana hari ini tidak bekerja atau pun bukannya ada kelas di institut. Memang lumrah setelah penat bekerja, diri kita pun berkata "esok nak bangun lambat lah bukannya ada kerja atau kelas pun" lalu bermula lah proses tersebut pada hari sebelum mengasam. Pada keesokkannya, insan tersebut akan memulakannya dengan bangun lambat dari kebiasaannya. Nikmat bukan? Jadi mereka hanya terbaring di atas katil tanpa melakukan apa-apa atau pun sambung semula mimpi-mimpi indah di pagi hari sehinggalah ke petang. Sehinggakan warna ceria cadar pun bertukar kusam dan tidak bermaya seolah-olah ia berada di rumah mayat.

Berdasarkan pengalaman lepas dan bagi mengelakkan malu, insan-insan ini akan menunding jari atau mencari mangsa untuk disalahkan supaya kesalahan mereka tidak mandi pagi tertutup dengan bukti-bukti kukuh yang agak mustahil disangkal di mahkamah tinggi Malaysia atau pun antarabangsa. Tidak ada peguam yang dapat memerangkap mangsa untuk mengaku melainkan ada saudara terdekat atau rakan terdekat yang sebilik mengaku bahawa insan tersebut belum lagi mandi sepanjang beliau dituduh. Apabila ini terjadi, maka 'kantoi' lah insan tersebut dengan tersimpul malu umpama anak dara baru akil baligh dengan hingus meleleh kerana tidak dicuci angkara belum mandi lagi.

Perlukah kita terus-menerus menuduh insan-insan lain belum mandi kerana perdebatan ini bukanlah sesuatu yang menyeronokkan malah ada yang hampir-hampir meragut nyawa hasil ugutan mangsa yang ter'kantoi' ke atas saksi. Ia memang seronok bila kita fikirkan. Manusia meruapakan insan yang amat luar biasa. Ada di antara rakan-rakan saya dapat menghidu rakan-rakan yang lain hanya dengan bercakap melalui telefon atau pun melalui perbualan chat di skype atau pun yahoo messenger. Setakat ini belum ada lagi kajian dilakukan untuk membuktikan sama ada ada insan-inan yang dapat menghidu bau kasam dari jarak jauh adalah benar tetapi tahap ketepatannya hanya 50 peratus. Kenapa 50 peratus? sebab jawapannya adalah ya atau bukan. Contohnya apabila seseorang menuduh rakannya belum mandi hanya melalui chatting sahaja. Jawapan nya mungkin benar atau tidak kerana rakannya mungkin sudah mandi pagi dan benar-benar telah mandi pagi atau pun belum mandi tetapi mengaku telah mandi pagi.

Dari zaman ke zaman, persoalan ini semakin ketara dengan kebanyakkan artis pujaan yang kerap lambat bangun pasti menjurus kepada lambat mandi pagi atau pun mandi tengahari atau petang telah menjadi ikutan masyarakat remaja dan melarat hinggalah ke alam dewasa. Apabila diamalkan oleh orang dewasa, anak-anak terpengaruh dan menjadi budaya dan adat yang tidak dapat disangkal. Kemudian keluarlah kajian saintifk atau golongan bijak pandai yang mengeluarkan hujah-hujah atau tesis peringkat diploma untuk mempertahankan atau menjelaskan rasional perlunya kita tidak mandi pagi. Maka tidak perlulah saya menjelaskan lebih lanjut kesannya lebih-lebih lagi di negara yang mempunyai bekalan air bersih yang mencukupi tidak termasuk air parit, air sirap, air teh dan air sungai-sungai jika dimasukkan.

Mandi ada kategorinya yang tersendiri, antaranya mandi kerbau (berkubang) dan mandi burung (basah kepala). Adakalnya amalan membasuh muka pun dianggap mandi. Dewasa ini syarat-syarat untuk mandi telah dilonggarkan namun masih ada sesetengah insan tidak dapat menunaikan kewajipan mereka.

Kesimpulannya, masalah yang berkaitan dengan mandi pagi tidak dapat diukur kerana kebarangkalian seseorang insan tidak mandi pagi adalah 50 peratus iaitu benar atau tidak benar. Sama ada disengajakan atau tidak, amalan ini telah berlaku semenjak Tanah Melayu mencapai kemerdekaan kerana semasa zaman penjajah, rakyat dibenarkan tidak mandi kerana khuatir akan menyebabkan kekurangan air untuk kegunaan pegawai-pegawai tinggi penjajah pada waktu itu boleh dijadikan pengecualian. Mandi atau tidak adalah persoalan yang perlu kita jawab dan bukannya dijawab rakan atau bapa saudara sebelah ibu kita untuk mempertahankan sama ada anda sudah mandi.

Akhir kata, jangan biarkan diri anda diselubungi bau-bauan 'kasam'.

2 comments from fighter:

Siti Aminah AGMA said...

mmg ada org xmandi sbb bz ngan kerja, mandi dikatakan membuang masa

kaiserstan said...

Tahukah anda siapakah insan tersebut yang senantiasa sibuk dengan kerja itu?

Daisypath Anniversary tickers