Monday, 6 July 2009

KPLi?

Selamat membaca blog yang saya bikin tanpa malu dan segan silunya umpama anak dara mak cik sebelah rumah sewa saya yang menunggu kawannya membeli muffin perisa budu Cap Pak Leman.

Pasti banyak di antara kita biasa mendengar akronim yang saya gunakan sebagai tajuk maha jahanam ini. Tetapi ia bukanlah tentang Kursus Perguruan Lepasan Ijazah atau pun Kem Penahanan Lembu India serta saudara sekampungnya.

Ia adalah kisah singkatan untuk Kerja Paling Liat!! Apakah yang dimaksudkan dengan kerja paling liat? Ia akan dijelaskan sekiranya anda membaca blog ini tanpa menggunakan tetikus. Pasti sukar bukan? Dalam kehidupan seharian, dan menyiapkan tugasan tak putus-putus umpama pili air rumah sewa kawan saya di Sarikei (asyik bocor) mereka cuba untuk memperbaiki kelemahan diri dan mempergunakan ilmu tersebut dalam membangunkan perusahaan tayar Zakiah.

Diringkaskan, kisah ini bermula di far far away galaxy (macam star war la pula) iaitu bertempat di sebuah institut yang disegani ramai dalam menghasilkan insan-insan yang kononnya hebat-hebat belaka dan ungkapan-ungkapan catchy yang biasa kita gunakan dewasa ini. Kisahnya adalah di kalangan pelajar institut. Pasti kita tertanya apa yang dimaksudkan dengan institut, malangnya saya pun tak tahu jadi janganlah bertanya umpama pelancong sesat masuk kampung...

Setelah sekian lama membuat pemerhatian saya dapat merumuskan beberapa individu yang layak diketengahkan. Mereka adalah insan-insan yang berjiwa muda remaja walaupun hampir mencecah tahap OTAI mali. Dalam menempuhi hidup yang dipenuhi tugasan yang tidak pernah habis-habis, pancaroba, liku-liku hidup, onak duri ranjau kehidupan dan selekoh-selekoh tajam di Skim B, perjuangan tetap diteruskan.

Adakah dengan hanya mempelajari ilmu menyedut tugasan rakan-rakan menyelesaikan masalah mereka? Ya itu adalah yang sebenar-benarnya! Mungkin yang biasa kita dengar dari rakan-rakan sepejuangan mereka kerana setiap masalah yang dihadapi bersama dapat diselesaikan jika ia diselesaikan melalui keringat penuh jerih orang lain atas alas an “dia buat tugasan yang sama dengan saya bukannya saya tiru benjol-sebenjolnya, saya ubah ikut resipi nenek saya sejak turun temurun yang diamalkan oleh kawan-kawan saya semasa di universiti dahulu kala”. Itulah retorik yang biasa kita dengar dari mereka umpama saya yang menulis ini. Masalahnya nenek saya tak pernah ajar pun dan saya sendiri yang mencipta dan menurunkan ilmu maha jahanam ini semasa di universiti kepada junior-junior berhingusku... tapi itu bukanlah tujuan utama tajuk ini...

Seperti biasa tiada tugasan yang lebih mencabar dari perkhemahan di panas terik di East Valley atau BIG di Kabong melainkan tugasan yang perlu dihantar dalam tempoh terdekat dengan akses kepada bahan rujukan yang kurang. Di sinilah lahir tokoh-tokoh terkenal dalam menghasilkan tugasan yang maha agung setaraf dengan karya Mak Lisa oleh Leonardo di Zakiah! Bayangkan, ya cepat bayangkan di dalam kepala otak anda yang sedang subur berjambul itu, bagaimana insan hebat tersebut menghasilkan karya dari sumber yang tiada? umpama lagu “Making Love Out of Nothing” oleh Air Supply. Ia melibatkan daya tekanan tumpuan graviti yang amat tinggi dan tidak memerlukan fokus yang tinggi, contohnya apabila kita membuat tugasan dalam tempoh akhir (last minute kata orang) PASTI tugasan itu siap biarpun ia dibuat dalam keadaan mabuk atau separuh tidur. Mesti anda memikirkan kualitinya bukan? Namun tekaan anda salah celaka umpama baki cheesedale yang tak habis. Hasilnya AMAT berkualiti tinggi tidak banyak sasterawan dan ilmuan dunia mampu menafikannya. Setakat ini hasil kualiti tugasan mereka telah digunakan di pelbagai negara umpama Timor Leste, Timur Tengah dan Congo. Pasti kedengaran sumpah seranah dan kutuk mengutuk berlaku apabila insan tersebut meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap individu yang memberi tugasan kepada mereka walaupun mereka tahu merekalah yang bersalah kerana tidak membuatnya awal-awal. Sehingga kini, tiada penjelasan yang konkrit mahu pun maujud bagaimana insan-insan ini dapat menghasilkan karya tersebut dengan mudah. Kebanyakkan saintis yang menjalankan kajian ini telah menyambung pelajaran mereka kerana mereka khuatir belum khatam lagi untuk mengkaji insan-insan ini. Seperti pantun :

buah durian di luar pagar, 
ambil kapak saya tebangkan, 
saya budak baru belajar, 
tunggulah saya habis dulu makan durian

Banyak institusi pengajian tinggi telah mempergunakan dan memasukkannya dalam huraian sukatan pelajaran mereka dalam pengajian Sarjana dan Kedoktoran seperti University of Mumbai, University of Songkla dan senarai itu masih berterusan dengan permohonan tidak putus-putus umpama rombongan balas dendam Where is Zakiah datang meminang anak mak Leha yang jual VCD cetak rompak sebelah rumah sewa saya.

Untuk melatih diri anda untuk jadi seperti insan-insan hebat ini, anda haruslah melepasi ujian saringan semasa tahun satu sekolah rendah walaupun tidak mendapat kredit dalam bahasa melayu SPM janji anda dapat membaca blog saya sudah memadai. Lesen L dan P lebih dari mencukupi kerana jika anda hanya ada lessen F kontraktor itu adalah satu bonus untuk anda membuat kertas kerja projek anda nanti. Pertama apabila anda mendapat tugasan yang perlu siap sebegini, anda pertama sekali mesti berjoli atau berfoya-foya sebelum tempoh menghantar tugasan tersebut dan buatlah diri anda seperti membuatnya supaya tidak menimbulkan syak wasangka dari rakan anda. Kedua buatlah pada jam 12 tengah malam pasti ia menimbulkan tekanan yang amat tinggi apabila anda perlu menyiapkan tugasan tahap tesis tanpa rujukan dan satu-satunya bahan yang anda ada adalah otak anda yang berserabut itu. Dalam masa terdekat pasti idea anda mencurah-curah sederas air sungai Rajang warna seperti Teh Peng yang saya minum pagi tadi, patutlah sedap. Anda akan mengalami transformasi seperti beruang yang bangun dari hibernasi dimulai dengan tangan anda yang menaip sepantas Komuter dan LRT di KL. Pada waktu itu, kerja-kerja sedut-menyedut adalah anugerah yang terbaik yang pernah anda terima malah lebih berharga dari harga sekilo muffin yang saya makan pagi tadi (lagi). Apabila selesai, anda pasti tidak menyangka bahawa tugasan agung tersebut adalah hasil titik peluh anda. Untuk bibliografi, anda gunakan nama-nama tokoh terkenal seperti Haziq AF, Anuar Zain atau Dato Dr Fadzillah Kamsah serta Edward De Bono dan buatlah sehingga 100 ratus nama mereka atau selitkan duit RM10 untuk memastikan pensyarah atau penyelia anda tidak curiga. Jangan risau kerana mereka tiada masa untuk menyemak nama-nama tersebut kerana sibuk membaca karya agung anda seharian.

Setakat ini, rahsia disebalik kejayaan insan-insan ini akan ditayangkan di gerai-gerai penjual ayam dan serati tepi jalan Bintangor untuk tatapan anda sekalian. Filem ini diberi nama Tugasan Terakhir! arahan budak baik (dia lagi) dan menampilkan pelakon-pelakon terkenal seperti YB, Ketua Kampung, Wan Australia, DJ Pub, Chef Sri Aman, Zakiah, Maya Karin, Rosyam Noor, Fasha Sanda, Haziq AF (cameo), Keanu Reeves, Pamela Anderson dan pelajar perempuan institut pemulihan sebagai pelakon tambahan sebagai pesorak dan penjual VCD cetak rompak filem ini. Anda tidak perlu risau kerana filem ini tidak ditapis oleh FINAS atau Kementerian Penerangan sebab mereka dah makan di Bandong dengan saya malam tadi. Nantikan kemunculan filem yang akan ditayangkan di Festival Filem Sarikei.
Selamat mencuba dan majulah perusahaan tayar Zakiah!



0 comments from fighter:

Daisypath Anniversary tickers